Ma..

Ma, suatu ketika dahulu aku sentiasa mencari alasan untuk menyanggah pendapatmu. Kita tak pernah sehaluan. Kau terlalu keras walau hakikat luarannya kau sangat lembut. Keras dalam mentarbiah anak-anakmu. Dan akulah selalu yang ku anggapkan menjadi ‘mangsa’ sengatan nada bisamu. Sedangkan hakikatnya sekarang telah aku fahami, barulah ku tahu, itulah kasih sayang mu yang sebenar untuk anak sulungmu ini. Dan kini aku menyedari akan apa yang kau luahkan dahulu itu suatu kebenaran yang pasti. Terima kasih Ma membesarkan aku dengan suasana yang sangat membuatkan aku tidak lupa pada siapa tuhan yang ku sembah. Aku yang dulu selalu membawa masalah. Aku yang dulu selalu degil dan keras kepala. Aku yang dulu selalu membangkang kata, tapi tak pernah kau labelkan aku dengan kata-kata yang kesat atau kasar.

Walau kau tidak pernah menyatakan sayang. Nun jauh di sudut hatimu penuh dengan cinta yang dapat aku rasai walau jauh beribu batu darimu.. Di saat aku kelelahan dalam meniti hidup, engkau sentiasa memberi harap. Sentiasa mengingatkan supaya jangan sekali-kali putus dari rahmat Allaj. Dari tali yang mengikat diri agar tidak terjerumus ke Jahanam. Sentiasa mengingatkan aku tentang betapa keras dan pedihnya siksa Jahanam. Dan betapa nikmat anugerah syurga itu sentiasa menjadi dakapan hati setiap insan untuk memasukinya. Itulah ma. Penuh dengan nasihat yang membina, teguran yang tepat ke sasaran. Semoga Allah terus merahmati ma.

Masih lagi ku ingat, ma, juga anak sulung kepada Arwah Chik dan Arwah Mah, dan juga cucu sulung kepada Tok Ayah dan Tok Mek sering menjaga kebajikan mereka. Yang paling aku ingati, semasa Tok Ayah sakit. Ma lah yang membasuh najis Tok Ayah yang lumpuh separuh badan. Yang memandikan, yang menyediakan tempat tidur, yang memasak untuk kami semua selain Ciksu yang balik ketika cuti semester MPTI bermula. Ma juga lah yang bercuti tanpa gaji selama 3 bulan untuk menjaga Tok Mek yang sakit tenat ketika itu, di mana makan minum kami ketika itu, ma lah yang menguruskan. Ramaikah yang sanggup bercuti tanpa gaji demi nenek tercinta? Semoga aku juga mampu untuk berkhidmat sebaik ma. Ya Allah, besarnya jasa ma… Semoga Allah memberimu syurga yang diidam setiap insan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment